"Ha sudah sampai di LCCT," kedengaran suara Farhan. Aku masih menggeliat. Maklumlah pagi-pagi atau tengah-tengah malam bertolak ke LCCT, jadi agak kepenatan sebenarnya. Kira-kira hampir pukul dua juga aku sampai di LCCT. Kelihatan setiap sudut dan ruang diisi oleh manusia-manusia penumpang kapal terbang. Mungkin perjalanan mereka esok pagi atau pun mungkin mereka baru sampai daripada mana-mana negara. Sementara tunggu siang, mereka bergelimpangan dulu di situ. Mungkin.
"Cepat ambil beg dan troli. Kita cari mana-mana tempat yang boleh untuk kita berehat." Begitulah kedengaran suara salah seorang peserta. Entah aku tidak ingat siapa yang bersuara ketika itu. Aku cuma memerhatikan di mana letaknya beg aku yang telah di bawa oleh kawan-kawan aku.
"Oh, di situ rupa,' cetus hatiku tatkala melihat beg merah aku ada terpelusuk di bawah beg-beg yang besar.
"Takpelah, biarkan jer kat situ."
Beg merah adalah kepunyaan Izzudin. Kawan serumah, sebilik dan sesiling dengan aku. Terima kasih aku ucapkan kepada beliau kerana sudi pinjamkan aku begnya. Kalau tak, aku terpaksa membawa beg besar gedabak aku tu.
"Okeylah ni di sini. Luas ni haa. Cuba tengok mamat cina ni, rilek jer baring kat sini. Jom lepak sekali dengan dia!" Aku berseloroh di situ. Namun semua tiba-tiba setuju. Apa lagi aku dan budak-budak lelaki pun bersetuju letak beg kat situ, dan baring seadanya.
"Madam dan yang perempuan akan rehat di surau. Nanti tolong kejutkan ye andai dah nak check in?" Ibu Martinelli yang bersama kami pada masa tu memberi pesanan.
"Ok, madam. Apa-apa hal kami akan beritahu nanti," balas aku pada ibu. Pada waktu itu kami masih tidak lagi memanggil beliau sebagai 'Ibu'. Panggilan 'madam' memang sudah sebati, ini kerana sejak kami di bangku 'budak-budak' Censerve lagi sudah terbiasa dengan panggilan madam. Panggilan ibu terjadi semasa kami di sana, iaitu di battambang, Dam Sbai. Nanti akan diceritakan di dalam episod yang akan datang.
"Eh, korang pergilah makan dulu. Aku pun lapar juga ni, tapi takper, biar aku jaga beg-beg ni dulu. Nanti tukar ah balik," cadang aku kepada semua. Di tengah ruangan LCCT tu, kami berkumpul. Satu kumpulan sudah pun berlegar ke ruangan makan, manakala aku dan 3 orang lagi duduk melepak di situ. Beg-beg ni harus di jaga. Laptop ada, ubatan ada, dan macam-macam lagi benda yang agak penting untuk misi kali ini terkumpul di sekeliling kami. Aku mengambil peluang pada waktu itu untuk menyambung bacaan buku "Bila Allah Menduga Kita" karangan Sayed al-Attas.
"Eh lama pulak diorang ni. Cecep, aku laparlah. Aku nak pergi makan dululah. Lapar sangat ni. Tak makan lagi. Aku pergi dulu lah ye," aku meminta simpati Cecep agar aku dapat pergi makan dulu.
"Ok Abang Jali," senyum je Cecep membalas pertanyaan aku. 'Terima kasih ye' ucap aku dalam hati.
"Ok lah, aku pergi dulu. Jaga-jaga barang ni tau."
Aku menyusuri jalan ke ruangan makan yang agak jauh. Cuma di situlah yang aku ingat aku pernah makan dan lepak. Tempat di mana aku tidur bersama budak-budak MISI semasa menunggu penerbangan ke Tawau. Di situ juga ada KFC dan macam-macam jenis makanan.
"Eh, tu bukan budak-budak ni ke?" Bertanya aku seorang diri.
Kelihatan Farhan, Safwan dan Qasim sedang berehat.
"Korang dah makan ke?"
"Dah. rasa kenyang lagi ni ha." Safwan menjawab.
"Kau nak belanja ke? Boleh je aku makan lagi. Hahaha..." Farhan dengan kebiasaannya melawak.
"Belanja tu tak dapatlah."
Aku menuju ke KFC. Tengok apa-apa yang menarik di situ. 'Tak dapat apa-apa pun yang best, lagi mahal ada ah.' Tawar hati aku untuk merasa KFC. Aku bercadang beli kat tempat lain lah. Aku patah balik ke belakang menghampiri deretan kedai makan. Setiap makanan yang dipamerkan agak menarik. 'Creeewt'. Berbunyi lagi perut aku ni.
"Kak, bagi saya nasi putih kak. Lauk ayam yang ni ye, masak merah. Saya memang suka lauk masak merah, hehehe.."
Mesti kakak tu jawab dalam hati dia, 'aku tak tanya pun', ah lantaklah. Itu memang skil aku untuk bermesra dengan orang. Tengok akak tu senyum jer, maknanya dia selesa lah dengan aku.
"Berapa?"
"RM5.00"
"Mahalnya.." balas aku perlahan sambil aku menghulurkan not RM5 kepadanya. Biasalah tu, barang-barang di LCCT semuanya harga berganda. Takpe makanan mahal, janji aku kenyang.
'Kat mana pulak aku nak cari air ni ek', bisik aku lagi. Aku terpandang KFC lagi. Apa kata aku beli air di KFC sahaja, ada lah jugak perasa KFC pagi ni.
"Kak, air Pepsi satu, air saja."
Aku terpandang di board atas.
"Wah, boleh refill.." Aku tersenyum lantas aku terus bertanyakan kakak tadi.
"Kak, air memang boleh refill ye?"
" Ha'a."
"Berapa kali?"
"Tak tahulah."
"Maknanya setiap kali habis boleh refill percuma?"
"Macam tu lah."
"Kalau macam tu, nanti saya datang balik refill."
"Abang baru balik Mekah ke?" Memang sepatutnya dia bertanya macam tu. Ini kerana penampilan aku yang berkopiah, ada beg ikat di pinggang, serta beg kamera tersandang di bahu. Dengan bersweater hitam pulak tu. Memang seperti orang baru balik buat umrah atau haji.
"Takdelah. Sebenarnya saya nak pergi Kemboja. Saya dari UIA. Kami ada program di sana. Flight pagi nanti, itu yang sampai dulu," jelas aku.
"Oh, ingatkan baru balik daripada Mekah. Nah, airnya."
"Terima kasih ye," sekali aku leparkan senyuman, dan dia balas dengan senyuman jua.
"Weh, kau ngurat dia ek? lama giler sembang!" Safwan terus menegur aku bila aku sampai di meja mereka.
"Kau tau, air ni boleh refill tau.. Nanti aku akan refill lagi. Hehehe.."
"Nak refill ke nak ngurat?" Qasim pula buat lawak pulak kat situ. Ramai-ramai ketawa.
"Korang tau, dia kata aku baru balik dari Mekah tadi... Hahahahaha lawak tollah. Tapi orang dia boleh tahan gak, lepas ni saper pulak yang nak pergi refill?" Sengaja aku usik budak-budak ni.
Alhamdulillah, perut aku sudah kenyang. Dahaga pun hilang sebab dah banyak kali aku refill air.
"Okey lah, aku nak gerak balik ah. Ada saper-saper nak ikut balik ke? Kalau tak nak ikut aku balik dulu lah. Kesian kat Cecep sorang kat sana."
Aku pun terus beredar dari situ. Di belakang kelibat Farhan yang turut ikut. Di dalam perjalanan tu, tiba-tiba aku terpandang seseorang lelaki. Macam kenal, siapa agaknya. Sah, memang aku kenal betul manusia ini.
"Korie, kau buat apa di sini? Nak ke mana?"
"Aku baru balik dari Sabah ni. Woh, besor gile mung lening?" (Wah, gemuk kau sekarang?")
"Besor mendenya, mung keje kat Saboh ke? Ngajor?" (Gemuk apanya, kau kerja di Sabah ke? Mengajar?)
"Ho, ngajor. Aku tunggu kapal terbang ke Ganu pulok."
"Pastu mung nok gi mane ni? Nok gi makang ke?" (Lepas tu, kau nak ke mana sekarang? Nak pergi makan ke?)
"Gi makang jap ah. Lapor aku." (Pergi makan dulu lah. Sangat lapar ni.)
"Bereh ah Korie. Tok seke boleh juppe kat sini." (Okeylah Korie. Tank sangka pulak jumpa kau di sini)
Tak sangka rasanya kerana terserempak dengan kawan lama di LCCT. Kawan sekolah menengah dulu. Kawan satu SMAASZA. Bukhori atau panggilan terkenalnya dengan nama Korie, merupakan bekas pelajar UUM. Selepas itu dia menyambung pelajarannya dalam bidang pendidikan di KPLI, dan mengambilnya di UIAM. Pada waktu itu, aku masih di tahun akhir di UIAM. Tidak beberapa lama selepas dia habis belajar di KPLI, terus mengajar sementara di Kuala Terengganu. Dan kini, beliau tetap mengajar di Sabah. daerah mana, tak tahulah pulak aku. Tidak sempat untuk bertanya dengan lebih lanjut kerana ingin menjaga beg-beg kami di sana. Lagipun kasihan Cecep dan kawan-kawan yang menjaga beg, mana tahu mereka pun nak keluar mencari makanan juga.
Di tempat beg, kelihatan Abang Roslan sedang mencari tempat untuk berbaring. Rupa-rupanya Abang Lan sudah pun balik daripada makan tadi. Asyraf pun sudah ada di situ sambil baring-baring. Begitu juga Ammar yang sedang membelek kameranya. Aku pun terus mencapai buku 'Bila Allah menduga kita' untuk di baca.
Cecep datang tergesa-gesa dan memberitahu bahawa waktu Check In sudah tiba. Dia cuba menghubungi Jasmin, namun tidak ada balasan. jam di tangan sudah pun menunjukkan pukul 4.50 pagi.
"Cuba hubungi madam." Cecep mencadangkan kepada aku.
"Biar aku telefon sekejap,"balas aku.
"Assalamulaikum, madam. Madam masih di surau?" tanya aku.
"Waalaikumsalam. Ha'a, kenapa? dah boleh check in?" tanya madam balik kepadaku.
"Ye madam. Cecep beritahu sudah sampai masa untuk check in. Dr. Dinon tak sampai lagi ni. Dr Soep pun. Tapi M.A dia dah telefon dah. Tolong beritahu yang lain ye. Kumpul di tempat beg tadi."
"Okey."
"Macam mana Zul?"
"Dr Dinon sedang on the way," balas Zul.
Okeylah. Cuma tunggu beberapa orang lagi. Dan kami akan check in dengan jayanya. Setiap barang kami check lagi agar tiada yang tertinggal serta tercicir. Cecep pula sibuk mengutip tiket untuk diperiksa. Kami akan check in mengikut kumpula yang tertera di tiket. Ada 3 orang dan ada juga yang empat orang pada tiket tersebut. Setiap satu akan di beri 15 kilo untuk barangan luggage. Lepas sahaja sembahyang subuh kami akan terus ke lobi penantian, untuk menunggu flight kami. Dan tepat pada pukul 6.45 pagi, kami akan menaiki AirAsia. Danm selamat tinggal selama seminggu Malaysia.
Bersambung....
0 orang jawab:
Post a Comment