Sekadar mahu merungkaikan satu cerita hati. Ha, apa lagi, baik korang semua pasangkan apa-apa lagu yang jiwang, cewah, biar aku ‘propos’kan beberapa lagu seperti lagu Jatuh Cinta, dendangan Baron Soulmate atau pun lagu Ketika Cinta Bertasbih, mungkin, bagi menaikkan mood.
Actually, baru-baru ini aku baru habis membaca buku Ayat-ayat Cinta. Dulu aku ingatkan bagaimanalah cerita garapan Habiburrahman ini, adakah ianya serupa dengan kisah-kisah cinta epik bagai Laila dan Majnun. Tidak. Sama sekali tidak. A. Samad Said pun mengatakan karya ini adalah karya yang sangat baik malah memuji lagi. Bagi aku pula, ye, ia memang terbaik. Kisah sang pemuda bernama Fahri memang betul-betul sampai ke hati. Alangkah agungnya cinta kepada Yang Esa.
Sekali sekala melayan perasaan ini seadanya apa salahnya kan? Tapi dalam diam aku mahu mencontohi si Fahri. Tapi agak payahlah untuk aku menjadi seperti Fahri, seorang Hafiz, dan mempunyai ilmu agama yang begitu mantap. Bukan tak boleh tapi payah, tu jek, but anyway dan anyhow aku nak jugak menjadi seperti dia. Cintanya pada Allah melebihi segala-galanya. Cinta untuk manusia biarlah Allah yang menyusunnya agar indah serta manis yang cukup mendalam.
“Dalam masalah jodoh, ada tiga jenis jodoh yang harus kita tahu..”
“Apakah dia tok?”
“Satu, jodoh daripada Iblis dan syaitan,”
“Bagaimana tu tok?”
“Jodoh daripada syaitan ini adalah.. Bila kita pandang perempuan itu, kita pun suka padanya. Dia pun tersenyum dan suka juga kepada kita. Lalu kita aturkan pertemuan secara berdua-duaan. Sehinggalah tangan terpegang, peluk memeluk, dan akhirnya bulan serta pokok buluh menjadi saksi akan perbuatan maksiat yang dilakukan. Maka si perempuan pun mengandung, jadi langkah terakhir untuk mengelak malu adalah dengan kahwin. Jadi ini lah jodoh yang diaturkan oleh iblis…”
“Habis, yang kedua bagaimana pula tok?”
“Yang kedua pula adalah jodoh daripada jin,”
“Jin??”
“Ia.. jin.. Ha jenis yang ni pulak, apabila satu hari tu si lelaki berkenan pada seorang perempuan, maka diluahkan segala perasaan cinta dan sukanya pada sang perempuan. Namun, alangkah malang buat si lelaki tadi kerana setiap pujuk rayu, dan kata-kata cintanya ditolak mentah-mentah oleh si perempuan. Oleh kerana ketidak puasan hati, maka si lelaki ini sanggup berjumpa dengan tukang bomoh untuk menjampikan perempuan tadi. Jadi, digunakannya minyak kekasih untuk memikat sang perempuan. Maka bernikah lah mereka atas pertolongan Jin, jadi inilah dinamakan sebagai jodoh daripada Jin.”
“Ooohhh macam tu rupanya, habis bagaimana pula yang ketiga tok?”
“Yang ketiga adalah jodoh yang paling manis serta bahagia sama ada di dunia mahupun di akhirat. Jodoh yang diperoleh oleh Nabi kita nabi Muhammad dan para solihin sepanjang zaman. Tidak lain tidak bukan adalah jodoh daripada Allah. Sekali si lelaki berpandangan dengan seorang perempuan, kedua-duanya berkenan. Dari mata terus turun ke hati. Hati berdegup kencang saat mendengar namanya, kadang-kadang apabila terserempak timbullah macam-macam ragam yang cukup luar biasa antara keduanya. Tanpa menunggu dengan lagi lama, kedua keluarga bertemu. Satu perjanjian pertunangan termeterai. Maka proses suai kenal berlaku, dan tidak lama selepas itu, tangan berjabat dan berakad. Maka halallah kini segala perlakuan..”
Macam itu jugalah yang terjadi antara Fahri dan Aisya. Cinta yang terpupuk daripada kekaguman masing-masing akan akhlak masing-masing. Tanpa meluahkan perasaan sayang dan cinta, kedua-duanya disatukan kerana takdir Allah . Cinta yang dilafazkan begitu mahal dan layak diberikan selepas termeterai akad yang suci lagi murni, yang menghalalkan segala yang haram.
Tapi sayang kini begitu ramai antara kita yang menganggap lafaz ‘ I love u’, ‘saya sayang awak’ adalah perkara biasa. Aku pun salah seorang daripada mereka yang membiasakan perkara ini, sesungguhnya aku khilaf ya Allah, ampunilah aku ya Allah, ampunilah aku…
Sesungguhnya kata itu terlalu mahal untuk dilafazkan. Begitu mahal. Ucaplah kepada orang tuamu sekerap yang mampu, ucaplah kepada adik beradik kamu sehebat-hebatnya, agung-agungkan lah lafaz cinta kamu kepada Pencipta kamu iaitu yang Kekal tiada Mati, Allah Rabbul Izzati, hamburkan segala kasih dan cinta kepada Kekasih Allah, kekasih kita iaitu Nabi Muhammad S.A.W. Dan janganlah kamu menggunakan perkataan mahal ini pada tempat yang murah dan hina, jikalau kamu sayang akan ‘kawan’ kamu, jagalah akhlaknya, muamalatnya, akidahnya, agamanya. Bimbinglah dia sehinggalah kedua-dua kamu menjadi halal. Saat itu lafazlah sebanyak-banyaknya, kerana lafaz itu kini menjadi sebahagian daripada amalan ibadah kamu…..
Untuk dia, aku tahu aku jauh daripada mu. Bukan mahuku untuk meninggalkanmu, namun aku mahu menjadi diri aku, mahu jadi kuat untuk membimbing orang yang hebat seperti kamu. Aku tidak akan memberitahu sebenarnya artikel ini adalah untuk dirimu, biarlah takdir Dia membawa kamu akan kesedaran ini, tidak perlu aku hamburkan kata-kata cinta, kerana aku takut aku tidak mampu untuk menuturkan nya apabila datangnya waktu itu nanti, sedarilah jikalau bukan di dunia kita bersatu, masih ada lagi satu tempat yang kekal lagi suci iaitu syurga. Kita berusahalah ke sana terlebih dulu, kerana tujuan hidup untuk akhirat.
“Ya Allah, letakkanlah dunia di tanganku bukan di hatiku… Kumohon…..”






0 orang jawab:
Post a Comment