Copyright © Travelog Mujahid Rindu...
Design by Dzignine
Wednesday, January 26, 2011

Travelog 224: TulisNovela: Satu Bola ePisOd 1

Kata Pengantar
*******************************
Alhamdulillah, peningkatan bola sepak negara Malaysia telah terbukti dengan kejuaraan pertama di peringkat Asia Tenggara. Maka, semua mata kini beralih ke arah masa depan bola kita. Aku pun salah seorang yang mempunyai mata tersebut. Setiap orang baik yang di kampung mahupun yang di bandar, semuanya bercakap mengenai bola. Aku pun salah seorang daripada mereka. Orang politik juga semakin menggila di dalam badan induk bola sepak negara, dan aku adalah seorang yang juga turut kuat mengutuk badan induk tersebut. Aku tidak mahulah bercakap panjang. Namun aku cukup berterima kasih kepada sumber aku iaitu saudara Lucius Maximus kerana ideanya membuatkan aku terberahi untuk melakarkan satu cerita, ya, cerita tentang bola sepak kita, namun bukan mengikut realiti sekarang ini, namun mengikut acuan idea 80 % daripada konsep Liga M Lucius, dan konsep Piala Malaysia aku. segala nama-nama di dalam tulisnovela ini merupakan rekaan semata-mata, jikalau ada yang kebetulan itu adalah memang sengaja, hehehehe. 

***************************
Musim Belajar.

Bunyi deruan angin yang kuat menerpa bumbung rumah-rumah di perkampungan ini. Sudah menjadi lumrah kampung, di hulu pula tu, al-maklumlah kawasan di pedalaman Hulu Terengganu berpeluang cerah untuk dinaiki air apabila berada di hujung-hujung tahun sebegini. Musim tengkujuh, musim Monsoon Cup orang putih kata.

Pada tahun ini tidaklah seperti tahun-tahun yang sudah. banjir lebih teruk berlaku pada tahun lepas, namun pada tahun ini, alhamdulillah tidaklah seberapa teruk. kalau ada pun, cuma perkampungan di daerah Besut dan Setiu. Oleh kerana faktor geografinya yang rendah maka senanglah dinaiki air, dan berjaya menenggelamkan puluhan buah rumah.

Di suatu sudut, Amran anak haji Dollah masih lagi berkira-kira untuk turun bermain bola sepak di padang kampungnya. Padang yang berjarak 500 meter daripada rumahnya merupakan padang yang selalu dikunjungi anak-anak muda kampungnya, Kampung Langgar. Harus diingat ya, bukan setakat di Kedah sahaja ada Kampung Langgar, di Hulu Terengganu pun ada.

"Issh, angin kuat macam ni, seram pun ada. Tiba-tiba hujan di tengah jalan, mati aku!" ngomel Amran sendirian.

Di suatu sudut yang lain, kelihatan ayahnya Haji Dollah, serta ibunya Mak Leha sedang rancak berborak di dapur. Sambil pekena teh o panas dan makan ubi kayu bakar, 

"Jangan menggatal pulak nak main bola masa ni, Am oii... Angin kuat ni, bahaya!" pesan Mak Leha dari dapur.

"Ya, mak.."

Lagi seminggu, minggu persekolahan akan dibuka. Amran akan memasuki darjah 6 pada awal tahun 2014 nanti. Minatnya pada bola memang sangat tinggi. Sebanyak dua kali dia mewakili rumah sukannya dan sekolah namun setakat ini, tiada lagi pencapaiannya yang sangat membanggakan. Namun bermula tahun depan dia akan mempamerkan permainan yang lebih baik. Itulah janjinya pada diri sendiri dan keluarganya.

Oleh sebab itulah Amran selalu berlatih di padang tersebut bersama kawan-kawannya. Sekurang-kurangnya terpilih untuk mewakili akademi remaja kelab yang mewakili bandarnya, iaitu Kuala Berang United. Setiap tahun akan ada sahaja remaja seawal 13 tahun yang mewakili skuad remaja bawah-15 Kuala Berang United dan beraksi dalam liga remaja peringkat negeri Terengganu. 2 tahun yang lepas memanglah tidak ada liga seumpama itu, namun sejak era kebangkitan skuad Harimau Malaya, terus corak pengurusan dan pembangunan bola sepak Malaysia berubah. FA negeri masing-masing tidak lagi menguruskan skuad bola sepak negeri tetapi kini mereka banyak menumpukan tentang aspek pembangunan bola sepak daripada akar umbi, dan itulah sebabnya Liga Remaja Bawah-15 wujud di Terengganu dan di negeri-negeri lain.

Dan kemuncaknya, setiap 4 pasukan teratas liga akan bertanding di Piala Remaja Malaysia, sama waktu  dengan berlangsungnya Piala Malaysia. Namun begitu formatnya tidak sama dengan Piala Malaysia, ini kerana Piala Malaysia kini di anggotai oleh pasukan yang bertaraf negeri. Semua bintang-bintang kelab yang mewakili kawasan dan bandar-bandar utama di setiap negeri akan dipanggil untuk menyarung jersi negeri bagi merebut Piala Malaysia. Memang itulah impian Amran, bukan setakat beraksi dan membantu negerinya menjulang piala tertua di negara, bahkan mempunyai impian untuk membawa Malaysia ke persada Piala Dunia.

"Mak, mana Usu?" tiba-tiba kakaknya muncul dari biliknya mencari Amran, adik bongsunya itu.
"Cuba Ngah cari di belakang rumah" balas Mak Leha.

Belakang rumahlah menjadi tempat untuk Amran menajamkan skil hantarannya. Jikalau hari hujan dan cuaca yang tidak menentu, dia akan berlatih di bawah rumah atau di belakang rumahnya. Dengan mensasarkan kepada sebatang pokok rambutan, dia selalu membuat latihan shooting dan passing. Amran akan memastikan lantunan bola tersebut tidak lari jauh daripadanya malah memastikan lantunan tersebut sampai di kakinya kembali. Kadang-kadang, tayar-tayar buruk yang dijumpainya  akan dibuat tempat untuk membuat rintangan larian dan pokok-pokok di kebun belakang rumahnya dijadikan tempat untuk berlatih dribble.

"Amran!! Ini, kawan kau telefon ni!!!"
"Siapa?" 
"Kassimm!!!"
"Kejap, Kak!"

Terus si Amran berlari menaiki tangga rumah kayunya.

"Basuh kaki dulu!!!"
"Ya, Kak!! Asyik nak menjerit jer keje!" 

Si kakak menjuih bibir ke arah adiknya. Amran pula macam biasa menjelirkan lidahnya. Dengan segera dia menyambut gagang telefon daripada kakaknya itu.

"Hello, assalamualaikum.. ha.. Kasim, kenapa?"
"Am, kenapa kau tak datang padang hari ini? Kau berlatih kat rumah ye?"
"Ha'a. mak aku laranglah. lagi pun jauh padang dengan rumah aku. kau takperlah, dekat nak mampus. Selangkah jer dah ada kat padang. Sekarang ni kan cuaca tak menentu. Sebab tu, aku berlatih kat rumah jer..."
"Ah, tak kisah lah. tapi ni aku nak gitau kau sesuatu ni!"
"Apa dia?"
"Tadikan, masa kitorang main bola, ada orang special datang wa cakap lu!!!" 
"Siapa?"
"Rahim Saad!"
"Abang Rahim? Super Striker Terengganu Hambra FC!!"
"Haaa.. Am. Pandai pun kau!"

Pada waktu ini, FAM telah memansuhkan skuad negeri bertanding di dalam Liga M, dan mengarahkan FA agar menolong setiap kawasan dan bandar utama negeri masing menubuhkan pasukan berstatus kelab. Maka, oleh itu sekarang ini terdapat dua bandar yang bertanding di liga Super. Pertamanya Besut Standard FC, dan Terengganu Hambra FC yang mewakili Kuala Terengganu. Oleh kerana persetujuan al-Hambra menjadi penaja utama dan membangunkan bola sepak di bandar Kuala Terengganu, maka Terengganu Hambra FC dipilih sebagai nama pasukan.

"Bestnya Kassim.. Habis, dia buat apa jer kat situ?"
"Dia datang buat training.Kitorang sempat berlatih dengan dia tadi. Bapak ah, memang terbaik ah Am. Rugi betullah ko takde tadi."
"Oklah Sim, aku nak mandi pula ni. kang, mak aku pula yang sound.. Assalamulaikum.."
"Waalaikum salam."

'Bestnya dia dapat jumpa Rahim Saad'. Rahim Saad, bayangan arwah Mokhtar Dahari seperti mana yang dilagukan oleh para peminat Terengganu Hambra FC. Seluruh Terengganu berbangga mempunyai penyerang berstail sepertinya. Anak kelahiran Marang ini pernah membawa pasukan remaja bawah-15 Marang FC menjadi naib juara pada tahun 2011, iaitu edisi sulung Piala Remaja Malaysia bawah-15. Pada waktu itu, beliau yang cuma berumur 14 tahun berjaya menyumbat satu gol ketika berdepan dengan pasukan remaja bawah-15 Kuala Pilah United, yang berkesudahan dengan kekalahan tipis 2-1. Rata-rata pemain remaja Kuala Pilah FC sekarang ini banyak berkelana ke  Perlis dan mewakili skuad Arau Warriors FC serta di beberapa kawasan utara Malaysia, manakala selebihnya diserap masuk ke skuad utama Kuala Pilah FC yang kini berada di kelompok pasukan di liga Divisyen 3 Malaysia. 

"Ingat, selepas mandi, ikut ayah pergi surau, selepas tu, pergi belajar mengaji dan balik selepas Isyak berjamaah di surau ye Am..."nasihat Mak Leha kepada anak lelaki yang seorang ni. Lagi pun memang Arman seorang jer pun anak lelakinya, kedua-dua orang di atasnya adalah perempuan. Yang sulung kini di UIAM, manakala yang kedua akan memasuki Tingkatan 3 pada awal tahun 2014 ni.

2 minggu berlalu dengan cepat. Seperti kanak-kanak lain, Arman turut sama bersiap untuk ke sekolahnya, Sekolah Kebangsaan Langgar yang terletak lebih kurang 500 meter daripada rumahnya. Dengan cuma berbasikal, dan konvoi bersama rakan-rakan, perjalanan yang panjang akan dirasa pendek. 

"Baik-baik bawak basikal tu..." nasihat lagi Mak Leha. Memang seorang ibu yang penyayang. Haji Dollah  sudah lama keluar menoreh. Sebaik sahaja selesai menunaikan solat subuh di surau al-Muttaqin, Haji Dollah terus menuju ke kebun getahnya yang setengah kilometer jauhnya. Haji turut juga berbasikal, katanya mudah, jimat dan selamat. Yang penting jimat daripada berpeluh-peluh cari duit untuk minyak, lebih baik berpeluh-peluh buat duit dengan getah. Memang menarik prinsipnya. sebab itu, Haji ni jenis tidak mengeluh dan sentiasa berpuas hati dengan apa yang dia sekeluarga ada.

"Mud, amacam game semalam?" tanya Arman kepada seorang rakan basikalnya iaitu Mahmud. Seorang lagi kaki bola sepertinya.
"Game mana pulak?"
"Alah, MU lawan Southamptom lah!"
"Oh, yang tu, sebenarnya.. sorilah cakap... errrr...."
"Apa err-err! cakaplah menang ke kalah? Takkan kalah kot!" ada dengar sedikit bunyi cuak dari Arman. Al-maklumlah peminat tegar Manchester United lah katakan.
"Alah, nak main-main sikit pun tak boleh. Tahniahlah kat ko Am, MU menang.."
"Alah menang nasib jer tu!" tiba-tiba lah pulak si Kassim mencelah. Seorang peminat tegar Arsenal.

Dan cita-citanya ingin mewakili kelab Arsenal, mengikut ceritanya lah, namun tak sedikit yang mengetawakannya. 

Amran terus membuat isyarat mata kepada Mahmud menanyakan berapa keputusan, dan dibalas oleh Mahmud dengan isyarat tangan, dan menunjukkan jari tangan berbentuk kosong dan jari kiri berbentuk satu. Maknanya 1-0 lah tu.

"Kan aku dah kata, menang nasib. Penalti! Tadi aku baca paper, bapak aku beli.." Sampuk Kassim lagi.
"Ko ni memang kaki kacau orang lah Sim!" marah pula si Mahmud.

Sesampai mereka di sekolah sekitar pukul 7.30 pagi. Dan pada hari Ahad kebiasaannya akan dimulakan dengan perhimpunan pagi. Dan yang paling tak tahannya adalah kerana terpaksa mendengar celoteh guru besar mereka, Cikgu Ramlah. Budak-budak ini memang suka menggelarnya Cikgu Ramlah Ram.

Arman dan rakan-rakannya terus menuju ke kelas terlebih dahulu untuk menyimpan beg. Basikal mereka sudah pun diparkir di tempat parkir basikal. Sejurus meletakkan beg mereka, mereka terus berlari-lari anak ke tapak perhimpunan. Di situ sudah ramai yang berkumpul. Jikalau terlewat, alamat kena dendalah. Dendanya kena berdiri di depan dan membuat ketuk ketampi di hadapan ramai murid. Mana nak letak muka beb!

"Assalamualaikum murid-murid!" Cikgu Farid selaku cikgu pendidikan jasmani menjadi pengerusi majlis pada pagi itu. Cikgu Farid, tinggi orangnya. Lepasan mahasiswa UiTM dalam bidang Sains Sukan, pernah terlibat dalam pasukan fisio Rantau Panjang FC. Namun, selepas beliau sendiri ingin menukar kerjaya, terus berpindah ke Hulu Terengganu dan menjadi guru pendidikan jasmani di beberapa sekolah. Akhirnya, oleh kerana arahan pihak atasan, Cikgu Farid kini bersama murid-murid Sekolah Kebangsaan Langgar.

Lagu negaraku sudah dinyanyikan. Lagu sekolah pun sudah dinyanyikan. Kini, Cikgu Ramlah Ram sedang berbicara di hadapan ratusan murid. 

"Perancangan sekolah pada tahun ini adalah menjadi sekolah yang terbaik, baik dari segi pendidikan mahupun sukan! Kepada Cikgu Farid dan pasukan bolanya, kami di sini mengucapkan selamat maju jaya. Semoga tahun ini, pasukan bola berjaya menghadiahkan kemenangan piala liga sekolah-sekolah rendah Terengganu." Dengan sepenuh harapan Cikgu Ramlah berucap.

Bagi Amran, Kassim dan Mahmud, inilah tahun terakhir mereka untuk menjulang nama sekolah mereka, kerana tahun hadapan mereka akan berpindah ke sekolah menengah dan akan mewakili sekolah menengah pula. 

Di Terengganu ada 346 sekolah yang berdaftar. Namun begitu, sebanyak 60 sahaja sekolah yang berdaftar untuk bersaing dalam liga Sekolah Rendah Terengganu (Liga SRT). Liga ini terbahagi kepada 3 divisyen. Seperti mana Liga M, terbahagi kepada 4 divisyen, dan Liga SRT cuma ada 3 dan liga utama sahaja yang ada kelayakan untuk mewakili negeri di dalam kejohanan Piala Sime Darby Bawah 12 tahun. Di dalam satu-satu divisyen, ada  20 pasukan. dan pasukan selebihnya akan bertanding dalam sesi kelayakan untuk memasuki Liga SRT divisyen 3, dan 2 yang teratas akan melonjak ke Liga SRT 2, dan begitulah seterusnya.

Sekolah Kebangsaan Langgar (SK Langgar) sekarang ini berada di kelompok Liga 1. Pada tahun yang  sudah pasukan Amran mampu berada di tangga ke lima di Liga  1 SRT. Memang satu kedudukan yang cukup membanggakan kerana pada tahun 2011 iaitu sebelum Cikgu Farid datang ke sekolah tersebut, SK Langgar cuma berada di kelompok liga 2. Setahun selepas itu, Cikgu Farid datang dan membawa pasukan SK Langgar ke tempat kedua liga seterusnya layak bertanding di Liga 1. Dan target mereka pada tahun 2014 ini membawa piala Liga 1 SRT ke SK Langgar, dan seterusnya mewakili negeri ke kejohanan bawah 12 tahun Piala Sime Darby.

"Kriiingggggg!!!!!"

Cukup sekejap rasanya, sudah pun sampai ke masa rehat. Semua murid bertempiaran lari menuju ke kantin sekolah. Amran cuma membuka begnya dan membuka bungkusan makanan yang dibawanya daripada rumah. 

*******************************

Bersambung ke EpiSoD 2

0 orang jawab:

Maghi-Maghi Perama!

Saing Kite Belake