SELEPAS Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menamatkan kontrak jurulatih skuad bola sepak negara, B. Sathianathan semalam, satu persoalan yang timbul iaitu siapa yang akan menggantikan tempatnya?
Ekoran kekalahan 0-5 kepada Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada Kelayakan Piala Asia 2011 dua minggu lepas, badan induk bola sepak negara itu akhirnya akur dengan tekanan peminat sukan No. 1 negara itu.
Pelbagai cerita mula timbul mengenai siapa pilihan yang paling sesuai menggantikan tempat Sathia itu sama ada jurulatih tempatan atau jurulatih asing.
Begitupun, ketika ramai yang beranggapan FAM mungkin masih menyandarkan harapan kepada anak tempatan, Setiausaha Agungnya, Datuk Azzuddin Ahmad pula tidak menolak kemungkinan bahawa khidmat jurulatih asing mungkin menjadi pertaruhan.
"Buat masa ini kami tidak pasti lagi siapa yang akan menggantikan tempat Sathianathan kerana ia akan diputuskan oleh mesyuarat jawatankuasa pasukan kebangsaan," kata Azzuddin kepada Kosmo! semalam.
"Adakah dia daripada kalangan jurulatih tempatan atau import, saya tidak boleh beri komen. Ia terpulang kepada keputusan jawatankuasa itu apabila bermesyuarat minggu depan.
"Saya sendiri pun tidak tahu apa-apa. Walaupun mungkin ada beberapa nama jurulatih tempatan, tapi jurulatih asing juga mungkin menjadi pilihan. Semuanya akan ditetapkan pada mesyuarat yang akan dipengerusikan Sultan Ahmad Shah sendiri nanti," ujarnya.
Menurut Azzuddin, jangka masa untuk mencari siapa jurulatih sesuai juga masih belum ditetapkan, namun mengakui ia akan diselesaikan secepat mungkin.
"Semuanya akan ditetapkan nanti oleh jawatankuasa pengurusan skuad kebangsaan, tapi yang pasti kami akan cuba mencari penggantinya secepat yang mungkin.
"Skuad negara tahun ini tidak menyertai kejohanan besar selain Pestabola Merdeka dan perlawanan dengan Uzbekistan (Kelayakan Piala Asia) pada Ogos dan November depan, jadi kita tunggu saja nanti," kata Azzuddin lagi.
sumber: KOSMO
0 orang jawab:
Post a Comment